WASHINGTON – Amal Clooney membantu pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa(ICC) mempertimbangkan bukti yang membawa kepada keputusan untuk meminta waran tangkap terhadap pemimpin tertinggi Israel dan Hamas.
Peguam berketurunan Britain-Lebanon itu mengeluarkan satu kenyataan di laman web Yayasan Keadilan Clooney yang diasaskan oleh Amal bersama suaminya iaitu aktor Hollywood, George Clooney.
Sebelum ini, Amal dan yayasan berkenaan dikritik di media sosial kerana gagal bersuara mengenai angka kematian orang awam Palestin di Semenanjung Gaza.
Amal berkata, dia diminta oleh pendakwa raya ICC, Karim Khan supaya menyertai panel pakar untuk menilai bukti jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Israel serta Gaza.
Kenyataan Amal itu disiarkan semalam. Pada hari sama Khan berkata, beliau mengemukakan permohonan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant di samping beberapa pemimpin tertinggi Hamas.
“Di sebalik kepelbagaian latar belakang peribadi kami, kami mencapai kata sepakat dalam keputusan ini,” kata Amal sambil menambah, terdapat bukti kukuh bahawa ‘pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh terlibat dalam pengambilan tebusan,, pembunuhan, dan keganasan seksual’.
Berkenaan Netanyahu dan Gallant pula, Amal memberitahu, terdapat bukti kukuh untuk mempercayai bahawa mereka terbabit menggunakan kebuluran terhadap orang awam sebagai senjata perang, pembunuhan, dan pembunuhan rambah penduduk awam.
Khan pula mengucapkan terima kasih kepada Amal dalam kenyataannya semasa mengumumkan keputusan untuk meminta waran tangkap ICC. – AFP