fbpx

Kerjasama dengan rakan antarabangsa bawa pulang pasukan perubatan di Rafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pakar bedah dari Malaysia memaklumkan dia bersama lima lagi pegawai perubatan negara ini kini tersekat di sebuah hospital di Rafah, Palestin.

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang bekerjasama dengan beberapa rakan antarabangsa bagi membawa pulang enam anggota pasukan perubatan Malaysia dari Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah, Gaza sejak 1 Mei lalu.

Kementerian Luar berkata, ketika ini, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan Qatar berdasarkan perbincangan terkini yang diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza.

Katanya, perbincangan itu dilakukan bersama dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar iaitu Lolwah Rashid Al-Khater.

“Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga bekerjasama dengan Republik Arab Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi memastikan mereka dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik.

“Memandangkan situasi yang tegang dan cepat berubah, adalah penting operasi menyelamat dijalankan dengan cekap dan lancar melalui saluran diplomatik,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Jelasnya, Kementerian Luar sedia maklum dan memberi perhatian mengenai keselamatan enam anggota pasukan perubatan Malaysia dari Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah.

Katanya, pasukan itu merupakan sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza.

“Disebabkan keadaan semakin meruncing di Rafah dan kawasan sekitarnya, kerajaan Malaysia menggesa semua rakyat terutamanya mereka yang berdaftar dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) agar tidak melakukan perjalanan ke zon konflik.

“Nasihat itu merupakan penekanan terhadap arahan yang telah dikeluarkan semasa mesyuarat antara agensi dengan NGO pada 16 Oktober 2023 dan 23 Januari 2024 di Kementerian Luar Negeri,” jelasnya.

Katanya, Kementerian Luar Negeri juga menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kepulangan selamat warga Malaysia.

“Semua langkah yang perlu sedang diambil dan Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang pasukan perubatan tersebut dengan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI