PUISI sememangnya mempunyai kuasa dalam menterjemah emosi.
Bahkan, ia juga dianggap salah satu cara penulis untuk menyalurkan apa sahaja bentuk emosi sama ada sedih atau gembira melalui tulisan.
Bagi Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar atau lebih dikenali sebagai Adriana Ghafar, keinginan untuk menjadikan buku puisi supaya lebih bersifat inklusif dan sesuai dibaca setiap lapisan masyarakat, mendorongnya untuk menulis buku puisi dwibahasanya sendiri yang dikenali sebagai Everything In Between.
Buku tersebut merupakan buku kompilasi campuran puisi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Adriana yang juga merupakan pengacara, model dan pembaca berita menterjemah puisi nukilannya bagi memberi inspirasi, khususnya kepada golongan wanita muda.
“Sebelum ini, puisi lazimnya dianggap sebagai sebuah karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual.
“Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul serta ingin berkongsi karya mereka secara terbuka.
“Justeru, mengambil inspirasi daripada pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskannya daripada menjadi sesuatu yang terhad di ruang bilik darjah atau anggapan bahawa ia hanya sesuai buat golongan elit,” kata Adriana.
Tambahnya, buku tersebut digarap moden kerana selain bait-bait puisi, buku tersebut juga mengandungi unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baharu kepada karya itu.
Ia juga bagi memberikan pembaca satu pengalaman menarik saat membaca buku puisi.
Jelas Adriana, Everything In Between merupakan satu projek yang dekat di hatinya kerana ia menjadi cerminan intim kepada perjalanan hidupnya.
“Perjalanan hidup saya disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun.
“Saya berhasrat memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup.
“Di samping itu juga, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” kata Adriana.
Puisi Adriana juga mengangkat aspirasi kolektif bertema keadilan serta memartabatkan maruah dan kesaksamaan untuk semua.
Kongsi gadis berusia 26 tahun itu, dia mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah dan banyak mengambil inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim dan juga Bernice Chauly.
Buku Everything In Between dijual pada harga RM48 senaskhah.