PETALING JAYA – Pelakon Bella Astillah sentiasa meletakkan diri dalam ‘zon’ positif bagi memastikan kehidupan harian termasuk emosinya tidak terganggu dengan isu kemelut rumah tangganya dengan penyanyi, Aliff Aziz ketika ini.
Menurut Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, perkara itu membantunya agar tidak terus hanyut dengan emosi sedih berkaitan kontroversi yang melanda.
“Sokongan daripada keluarga sangat penting ketika ini.
“Dalam tempoh ini, saya memang akan selalu letak diri dalam keadaan positif sebab boleh bantu cara kita menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Tambah pelakon drama Leha, Leya Lawa itu, overthinking atau terlalu banyak berfikir tentang masalah yang berlaku bukan cara penyelesaian yang baik malah boleh mengundang hal negatif lain.
“Pemikiran positif itu bantu dan elak saya daripada rasa ‘moody’ atau sedih.
“Kalau banyak sangat berfikir, benda itu sedikit sebanyak memang akan beri kesan pada kehidupan.
“Jadi, sekarang ini saya banyak bercakap dengan diri sendiri bahawa perlu menerima dan menjalani sakitnya dan barulah kita akan lupa cintanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain sokongan keluarga, dua anaknya iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna merupakan kekuatannya untuk terus kuat mencari rezeki.
“Adakalanya kita rasa penat, kecewa atau sedih tetapi apabila tengok muka anak, semuanya akan ‘settle’
“Sebagai seorang ibu, anak-anaklah kekuatan buat saya. Terus ‘move on’ dan jalani hidup seperti biasa,” katanya lagi.
Sebelum ini, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Rentetan itu, Bella nekad memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu.
Namun, pasangan selebriti itu diperintah hadir proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 4 Jun depan berikutan aktor kelahiran Singapura itu tidak bersetuju dengan permohonan cerai difailkan isteri atas alasan masih sayangkan keluarga. – KOSMO! ONLINE