BIARPUN dihimpit beberapa siri kecederaan, namun ia tidak mematahkan semangat gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk menuai pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan kelmarin.
Atlet berusia 22 tahun itu mendedahkan, dia hampir berputus asa sebelum masuk ke dalam gelanggang selepas beberapa kali terjatuh dalam latihan.
Bagaimanapun, Sharul mengakui dia mengambil pendekatan bertenang sebelum memberikan aksi sehabis baik pada kejohanan itu sebelum berjaya menuai gangsa dalam acara melombol.
Pingat emas acara itu dimenangi Carlos Yulo dari Filipina dan atlet tuan rumah, Abdulaziz Mirvaliev berada di podium untuk meraih perak.
“Sebelum perlawanan saya benar-benar agak gementar kerana akan bersaing bersama pemenang pingat emas dan juga juara dunia yang hebat di sini seperti Carlos Yulo.
“Keadaan menjadi lebih tertekan apabila saya juga terjatuh tiga hingga empat kali dalam latihan sekali gus membuatkan saya hampir berputus asa.
“10 minit sebelum pertandingan bermula, saya cuba bertenang dan melakukan fisioterapi di kaki untuk menaikkan semangat saya untuk menyertai saingan tersebut. Saya gembira dapat melakukannya,” kata Sharul Aimy ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hasil keputusan tersebut, Sharul berharap dia dapat mengekalkan momentum terbaik itu untuk memburu pingat emas pada kejohanan akan datang.
“Perasaan saya lepas kejohanan ini benar-benar sangat gembira dan paling penting mungkin tahun depan saya nak lakukan lebih baik untuk menjelmakan pingat perak atau emas selepas ini,” ujarnya.