PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah dan baik di hampir seluruh negara pagi ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat kini hanya berlaku di utara Semenanjung melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, dan Perak serta dijangka beransur reda menjelang pukul 12 tengah hari nanti.
“Di Sabah dan Sarawak pula, hujan turut dicerap melibatkan beberapa kawasan di Pantai Barat, Labuan dan pedalaman Sarawak serta dijangka pulih sebelum menjelang tengah hari,” katanya.
Sementara itu, bagi cuaca sebelah petang, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di seluruh negara terutamanya di kebanyakan tempat di negeri Johor dan Melaka.
“Cuaca buruk sama turut dijangka di beberapa tempat melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan serta kawasan pedalaman Kedah dan Perak.
“Di Sarawak, kawasan yang berdepan cuaca buruk pada sebelah petang ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Miri dan Limbang serta seluruh negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir diramalkan di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu serta beberapa tempat di kawasan pedalaman Pahang.
“Cuaca hujan dan lembap turut dijangka berlaku melibatkan beberapa tempat di negeri Johor.
“Selain itu, cuaca hujan sama turut dijangka di Malaysia timur melibatkan Pedalaman, Labuan, Pantai Barat, Sandakan, Sabah serta Kapit dan Miri,Sarawak menjelang malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.