PETALING JAYA – Seorang wanita sebak setelah mengetahui ibu bersama dua anak kecil yang seharian duduk di LRT Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa, hari ini, dipercayai dihalau suami.
Nurul Izni menerusi Facebook, turut berkongsi gambar seorang kanak-kanak lelaki yang kelihatan buntu ketika menjaga adiknya.
“Kami anak-beranak nak ke KLCC dan jumpa budak lelaki ni di LRT Setiawangsa. @asyrafrazif711 dekatinya, rupa-rupanya ada bayi usia dalam sebulan lebih.
“Bayi tu baring atas bangku keras sambil hisap botol susu dan kelihatan abangnya tak tahu macam mana nak jaga adiknya.
“Izni ajar dia macam mana nak pegang botol susu dan ya, dia cuba sehabis baik. Nak menangis rasa lihat baby ini dalam keadaan comot dan tidak berselimut,” katanya.
Katanya, apabila ditanya dimanakah ibu mereka, kanak-kanak lelaki berkenaan memberitahu dia keluar membeli barang.
“Rupanya mereka tiga beranak kena halau keluar oleh si ayah. Budak lelaki tu dah berhenti sekolah.
“Ditanya lapar atau tidak, dia geleng dan jawab dah makan tadi, namun kemudiannya bersuara perlahan, ‘saya lapar’ jadi belikan dia roti dan minuman,” kongsinya.
Selepas 20 minit katanya, ibu kanak-kanak tersebut muncul dalam keadaan berpakaian lusuh dan luka kehitaman pada tangannya.
“Rupanya mereka dihalau keluar dari rumah. Ibu itu dah sering dipukul suami dan ibu mertuanya.
“Tiga beranak ni seharian duduk di tangga LRT buntu tak cukup duit nak naik teksi. Bila hari makin panas, mereka beralih masuk ke dalam. Ibu itu buat keputusan untuk balik ke kampungnya di Kedah,” tambahnya lagi.
Dengan berat hati Nurul Izni berkata, mereka tinggalkan tiga beranak itu kepada staf di LRT berkenaan yang telah dimaklumkan sebelumnya.
“Cukupkah duit mereka untuk ke Kedah? Selamatkah perjalanan mereka? Yang paling penting, stabilkah emosi sang ibu?
“Moga Allah permudahkan urusan mereka walau di mana mereka berada dan moga Allah balas perbuatan mereka yang culas dalam menjalankan tanggungjawab.
“Kalau kita tengok hidup kita susah, lebih ramai lagi yang hidupnya lebih payah dari kita. Lalu, bersyukurlah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE