PETALING JAYA – Pasukan Sri Pahang mengekalkan aksi tanpa kalah pada kempen Liga Super musim ini selepas meraih keputusan seri 2-2 ketika menentang Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak petang tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya meraih gol hasil ledakan penyerang import veteran, Tchetche Kipre seawal minit ke-19.
Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan tuan rumah dalam usaha melebarkan kelebihan jaringan.
Usaha Kuching City berhasil apabila tandukan Jordan Mintah menerjah ke gawang Tok Gajah sekali gus menyaksikan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin tewas buat kali kedua pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang yang dikendalikan oleh Fandi Ahmad mempamerkan corak permainan berbeza dalam usaha merapatkan jurang gol.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba hasil ledakan tandukan Adam Nor Azlin pada minit ke-62 sekali gus menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan dalam memburu gol penyamaan.
Pemain import Tok Gajah, Manuel Hidalgo berjaya mencetak gol penyamaan pada minit ke-76 dengan keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu membolehkan skuad Sri Pahang meraih empat mata manakala Kuching City meraih mata pertama musim ini selepas mengharungi dua perlawanan. – KOSMO! ONLINE