fbpx

Syarikat import daging logo halal palsu bakal didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iskandar Halim Sulaiman melakukan tabik hormat kepada pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP ketika hari terakhir beliau bertugas pada Majlis Serah Tugas dan Perbarisan Kawalan Kehormatan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP di kementerian KPDNHEP, di sini, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal mendakwa sebuah syarikat di Johor yang terlibat dalam pengimportan daging berlogo halal palsu.

Perkara itu disahkan Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman pada sidang akhbar yang diadakan khas sempena meraikan majlis persaraan dirinya, di sini hari ini.

“Kita telah mendapat keizinan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk membuat pendakwaan ke atas syarikat terbabit di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir pada majlis ‘Paluan Berundur’ itu ialah menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid serta para pegawai tinggi kementerian tersebut.

Mengulas lanjut, Iskandar Halim menjelaskan, kes itu akan didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana penyalahgunaan label bagi mengelirukan pengguna Muslim.

“Setakat ini, ia bakal dituduh di mahkamah kerana isu pemakaian logo halal yang tidak diiktiraf pihak berwajib, namun masih ada satu lagi siasatan dijalankan mengikut akta lain,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada siasatan dalaman dilakukan ke atas petugas kementerian itu kerana isu pengimportan produk tersebut bukan di bawah bidang kuasa mereka selama ini.

Iskandar Halim turut memaklumkan bahawa kementeriannya sedang giat mengesan ke mana daging itu diedarkan di seluruh negara berdasarkan invois pembelian di syarikat berkenaan.

“Kita memang tengah cari di seluruh Malaysia sekarang dan jika ditemui disimpan dalam peti sejuk beku premis terlibat, ia akan dirampas dan dijadikan bahan bukti tambahan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI