KUALA LUMPUR – Skuad regu sepak takraw negara menepati ramalan mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mencatat kemenangan kedua dalam peringkat Kumpulan B di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad negara yang diketuai Muhammad Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) mempamerkan persembahan luar biasa apabila hanya membenarkan pasukan Brunei hanya mengutip tujuh mata dalam kedua set perlawanan.
Servis deras Syahir dan rejaman tajam Azlan pada perlawanan tersebut membuatkan skuad kendalian Brunei yang dikendalikan bekas jurulatih Malaysia, Abdul Talib Ahmad itu goyah sebelum tumpas dengan keputusan 15-7, 15-7 dalam tempoh 43 minit.
“Bagi saya, semua pemain belum mempamerkan aksi maksimum lagi, masing-masing masih mencari rentak untuk berikan yang terbaik. Jadi saya harap kami akan beraksi dengan lebih baik selepas ini khususnya di final.
“Bagi saya bermain di laman sendiri lebih tertekan, jadi kami lebih berhati-hati. Biarpun lawan China dan Brunei, kami tetap berikan yang terbaik untuk memastikan skuad negara menempah tiket ke saingan kalah mati.
“Dalam dua perlawanan, secara keseluruhan permainan kami meningkat tetapi bukan secara mendadak. kehadiran penyokong juga sangat membantu, sudah lama kami tidak merasainya dengan kali terakhir ialah semasa Sukan SEA 2017.
“Untuk perlawanan seterusnya kita tengok nanti Malaysia akan menentang siapa, tetapi mentaliti kami pasukan mana pun yang kita hadapi, kita akan anggap macam lawan Thailand dan berikan sehabis baik,” kata Syahir.
Terdahulu semalam, skuad regu negara yang dikendalikan ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menumpaskan China 15-6, 15-7 dan dua kemenangan itu menyaksikan skuad regu negara akan berdepan naib juara Kumpulan C yang dianggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir pada Selasa ini.-KOSMO! ONLINE