PETALING JAYA – Dua beradik kembar yang juga pemilik restoran di Seberang Perai, Pulau Pinang kerugian RM2,000 apabila bangkai seekor burung gagak terjatuh di dalam seperiuk masakan sup di dalam premis tersebut.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok Twincafesup_88, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika operasi menembak burung gagak oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Salah seorang kembar itu mendakwa, modal untuk menghasilkan masakan sup seperiuk itu dianggarkan RM1,000 lebih dan mereka terpaksa membuang kesemuanya.
“Takkan tergamak nak beri kepada pelanggan. Dah masuk darah gagak dalam periuk. Tak ada rezeki, apa pun kita tetap syukur sebab tidak ada kecelakaan lain,” katanya dalam video yang dimuat naik semalam.
Turut kelihatan seorang individu memakai baju-T ‘MBSP Crew’ dipercayai kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berjumpa dengan mereka dan berbincang mengenai kejadian tersebut.
Sementara itu, seorang lagi kembar itu berkata, mereka reda serta menyifatkan ia sebagai ujian sebagai peniaga.
“Ini ujian kita berniaga, ada risikonya. Banyak lagi ujian lebih besar seperti Palestin yang kena ‘bedal’ (dizalimi oleh Israel). Doa-doakan dan sokonglah kami. Tak ada rezeki tetap kena bersyukur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@twincafesup Alhamdullah tak ada rezki untuk hari tolong doakan kami dan support kami guys 😭 #rajasupno1dimalaysia #supsekoqlembu #jomtwincafe ♬ bunyi asal – Twincafesup_88