KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih motivasi tambahan sebelum memulakan cabaran sebenar di Sukan Olimpik Paris pada Julai ini apabila menjulang gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok sebentar tadi.
Pada aksi final di Stadium Nimibutr tersebut, pemain ranking No.10 dunia itu mempamerkan aksi cukup agresif apabila mencatat kemenangan straight set 21-11, 21-10 ke atas pemain Hong Kong, Ng Ka Long dalam tempoh 34 minit.
Zii Jia yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan dilihat tidak berdepan sebarang tekanan pada set pertama perlawanan apabila hanya memerlukan 15 minit untuk menundukkan pemain ranking No. 27 dunia itu tersebut.
Biarpun Ka Long cuba bangkit pada set kedua namun pukulan smash deras Zii Jia membuatkan lawannya itu hilang fokus sebelum tumpas 21-10.
Kemenangan itu memberi kepuasan kepada Zii Jia kerana berjaya mengulangi pencapaian pada tahun 2022 muncul juara Terbuka Thailand setelah menewaskan pemain China, Li Shi Feng dengan keputusan 17-21, 21-11, 23-21 dalam aksi final. – KOSMO! ONLINE