KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul seorang remaja lelaki di sebuah masjid, dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah masjid di Kampung Langgar di sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 15 Mac lalu.
Nik Habri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE