DENPASAR – Bilionair terkenal, Elon Musk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Pulau Bali pagi ini, dalam lawatan kerjanya untuk merasmikan perkhidmatan internet berasaskan satelit, Starlink di Indonesia, lapor agensi berita ANTARA.
Majlis pelancaran yang dijadualkan berlangsung di Denpasar pada petang ini, akan turut dihadiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
“Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, tiba di Pulau Bali untuk memenuhi undangan kami bagi acara Forum Air Dunia ke-10.
“Beberapa kerjasama (yang akan dibincangkan) amat penting, salah satu daripadanya adalah perkhidmatan internet Starlink yang mampu menjangkau sehingga ke seluruh pelosok Indonesia,” kata Menteri Penyelaras Bidang Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan menerusi akaun Instagram.
Selain berada di Pulau Bali untuk melancarkan Starlink, Musk juga akan memberi ucapan ketika sesi pembukaan Forum Air Dunia pagi esok. – AGENSI