KLANG – Rasa takut dan terancam mengakibatkan seorang pemandu kereta bertindak nekad terjun ke dalam longkang selepas terlibat dengan beberapa kemalangan di sekitar daerah ini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu bermula apabila lelaki berusia 24 itu yang memandu kereta Proton Satria bergesel dengan sebuah motosikal di jalan dari arah Shah Alam menghala ke Jalan Kebun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, susulan itu berlaku pertengkaran mulut dengan penunggang motosikal tersebut mengancam untuk merosakkan kereta tersebut.
“Pemandu itu kemudian bergesel dengan sebuah motosikal lain dan meneruskan perjalanan ke arah Jalan Sungai Jati sebelum dikejar kedua-dua penunggang motosikal terlibat.
“Kereta itu turut melanggar sebuah kereta lain sebelum bertindak mengundur dan melawan arus seterusnya bergesel dengan beberapa kenderaan lain sebelum berhenti selepas melanggar sebuah lori yang diparkir di bahu jalan,” katanya hari ini.
Beliau menambah, pemandu Satria itu kemudian keluar daripada keretanya dan berlari menyelamatkan diri sebelum terjun ke dalam longkang, namun beberapa orang awam membaling objek dan memukul lelaki itu dengan pelepah kelapa.
“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba di lokasi kemudian membawa pemandu itu ke balai polis untuk siasatan. Sebanyak 10 laporan kes kemalangan itu diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE