JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli berangkat melawat Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda di HSI disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani.
Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan baginda kepada Mohd. Hasif.
Raja Zarith Sofiah turut meluangkan masa bertanyakan khabar isteri anggota polis berkenaan.
Semalam, Kosmo! melaporkan Mohd. Hasif cedera terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bertopeng ketika melakukan serangan ke atas balai polis berkenaan sebelum dibawa ke Wad Kecemasan HSI untuk rawatan.
Dia kemudian dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya semakin stabil.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 pagi itu, dua anggota polis maut iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Suspek yang berusia 21 tahun turut dilaporkan maut setelah ditembak anggota polis dalam kejadian berkenaan.-KOSMO! ONLINE