PETALING JAYA – Sudah lama memboikot, penyanyi Yuna mendedahkan pernah ditempelak kenalan rapatnya apabila mengambil keputusan untuk berhenti bekerjasama dengan sebuah jenama ‘Z’ pada November tahun lalu.
Ujar Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai, 38, dia pernah dilabel sebagai ‘gila’ selepas mengambil keputusan untuk berbuat demikian.
“Saya pernah memberitahu rakan-rakan saya di Los Angeles dan Kuala Lumpur mengenai keputusan berhenti bekerjasama dengan memakai jenama ‘Z’.
“Rakan-rakan kata saya gila dan tidak bagus untuk saya, malah ada yang menukar topik perbualan apabila saya melihat foto menyayat hari dari Gaza,” kongsinya menerusi Instagram.
Mengakui setiap tindakan ada natijah, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu berkata, dia menerima beberapa impak selepas menyebelahi pihak pro-Palestin termasuk beberapa ugutan.
Pun begitu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL37) menegaskan tindakan memboikot tidak akan berhasil jika hanya dilakukan sebelah pihak sahaja sebaliknya memerlukan pengorbanan semua pihak.
“Ada beberapa lelaki mengambil foto saya memakai rantai tembikai (bendera Palestin) untuk menakutkan saya. Tetapi anda tidak tahu kanak-kanak di Gaza tidak hidup setiap hari.
“Instagram juga meminta peminat untuk melaporkan akaun saya. Jadi, kita perlu korbankan sesuatu.
“Perkara ini tidak akan berhasil jika peminat memboikot restoran makanan segera dan kami mempromosikan beg RM46,000. Kita semua perlu bersatu,” jelasnya.
Semakan HibGlam mendapati, rata-rata peminat meluahkan rasa bangga terhadap tindakan Yuna untuk menentang kekejaman Zionis.
“Awak sangat hebat,sangat bangga!,” ujar peminat.
“Dan itulah sebabnya anda berada dalam senarai selebriti untuk diikuti. Bukan sebahagian daripada kempen Blockout,” jelas netizen.
Terdahulu, gerakan Blockout 2024 tercetus dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu berjaya memberi impak terhadap ramai pempengaruh dan selebriti di Malaysia apabila majoriti mula bersuara dan memuat naik berkaitan Palestin.
Lebih 30,000 penduduk Palestin telah dibunuh oleh Zionis sejak pertempuran yang berlaku pada 7 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE