fbpx

Warga China gaji PATI, daftar kilang ‘e-waste’ guna orang tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang sisa 'e-waste' diserbu JIM pada 16 Mei lalu. -Foto JIM

PUTRAJAYA – Sebuah kilang kitar semula sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Klang, Selangor, diserbu Jabatan Imigresen (JIM) kelmarin, selepas dipercayai diuruskan secara proksi warga China biarpun didaftar menggunakan nama warga tempatan.

Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan turut menggajikan warga asing dipercayai wujud elemen eksploitasi pemerdagangan orang.

Katanya, operasi bermula pukul 1.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Siasatan awal mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Seramai 35 warga asing telah diperiksa dalam operasi ini dan kita telah menahan 33 individu termasuk dua wanita melibatkan warga China (2), Myanmar (28) dan Cambodia (3).

“Kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 40 tahun yang bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semua yang terlibat tidak memiliki dokumen perjalanan sewaktu ditahan dipercayai disimpan oleh pengusaha kilang yang disyaki merupakan warga China.

“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa ‘e-waste’ yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

“Berdasarkan invois yang ditemui, sisa ‘e-waste’ yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warga China yang berkemahiran.

“Bagi mengaburi aktiviti ini, warga China tersebut akan beralih ke kilang-kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil keuntungan dipercayai mencecah RM300,000 hingga RM500,000 setelah barangan siap dikitar semula.

“Berdasarkan risikan dan maklumat yang diperolehi daripada warga asing yang ditahan, disyaki syarikat ini didaftarkan kepada warga tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

“Kita akan meneruskan usaha mengesan pemilik kilang berdasarkan nombor pasport yang diperolehi termasuk pemilik lot tanah tersebut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI