PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah dan baik di seluruh negara pagi ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat pada waktu pagi di kawasan perairan Selat Melaka yang sedang berlaku, disebabkan oleh tiupan angin dari arah barat daya dan dijangka memasuki kawasan persisir pantai utara dan barat Semenanjung menjelang tengah hari nanti.
“Di Sabah pula hujan di beberapa tempat di Ranau dan Pantai Barat diikuti dengan Sarawak iaitu di kawasan persisir pantai dan pedalaman, juga dijangka pulih sebelum menjelang tengah hari,” katanya.
Sementara itu, bagi cuaca sebelah petang, berikutan dengan fasa peralihan monsun barat daya yang sedang berlaku, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.
“Ribut petir dan hujan lebat di sebelah petang dijangka turut berlaku di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.
“Di Sarawak, kawasan yang berdepan cuaca buruk ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Miri dan Limbang,” katanya.
Dalam pada itu, bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir diramalkan di kebanyakan kawasan di Kelantan, Terengganu, dan Pahang.
“Cuaca hujan dan lembap turut dijangka di beberapa tempat di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor pada sebelah malam.
“Selain itu, cuaca hujan sama turut dijangka di Sabah melibatkan pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Labuan, serta tiada hujan diramalkan berlaku di Sarawak menjelang malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE