PUTRAJAYA – Datuk Zailani Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang baharu.
JPJ dalam kenyataan akhbar berkata, Zailani sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menurutnya, JPJ dan seluruh warganya mengucapkan tahniah kepada Zailani atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah JPJ sekali gus menerajui jabatan tersebut.
“Beliau (Zailani) mempunyai pengalaman luas bertugas di pelbagai kementerian dan agensi perkhidmatan awam sebelum ini.
“Selain itu, beliau juga berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan Pegawai Integriti dengan pengalaman bertugas di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Warga JPJ juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di atas pelantikan ini,” katanya.
Katanya, JPJ meyakini pelantikan itu akan terus memacu kecemerlangan JPJ dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.
Zailani menggantikan Datuk Seri Shaharuddin Khalid yang bersara wajib pada 20 September lalu. – K! ONLINE.