SINGAPURA – Perbuatan seorang pemandu kereta BMW yang memberhentikan kenderaan di lorong kanan sebuah lebuh raya bagi memberi laluan kepada ambulans mengundang kecaman netizen Singapura.
Dia berharap ambulans itu dapat memotong keretanya menggunakan lorong lain.
Menurut portal berita AsiaOne hari ini, kejadian berlaku Rabu lalu, manakala video perbuatan pemandu tersebut disiarkan di laman Kumpulan Aduan Facebook di Singapura.
Kapsyen pada video tersebut ditulis: “Adakah ini cara anda memberi laluan kepada kenderaan ambulans?”
Sebilangan netizen yang melihat rakaman itu berkata, pemandu BMW itu tidak bertimbang rasa.
Ini kerana perbuatannya menghentikan kereta di lorong kanan menyebabkan ambulans itu bergerak perlahan.
Seorang pengguna Facebook mengulas: “Berhenti di lorong pertama? Di manakah pemandu ini mendapat lesen?”. – AGENSI