PETALING JAYA – Perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) akan meluaskan jaringannya dengan permulaan operasi Laluan T221 (LRT Sri Rampai – Giant Ulu Kelang) mulai Isnin depan.
Laluan T221 ini menawarkan fleksibiliti untuk pengguna menempah perjalanan mengikut masa yang diinginkan melalui aplikasi Kumpool.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, laluan-laluan yang dipilih untuk perkhidmatan DRT ini adalah yang mempunyai kadar pengguna dan kekerapan yang agak rendah.
“Rangka penambahan laluan menggunakan mod DRT ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan lebih pantas, tidak kira pada atau luar waktu puncak.
“Masa perjalanan para penumpang juga akan menjadi lebih pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, perkhidmatan van DRT ini akan beroperasi serentak dengan bas Rapid KL bagi laluan T221 selama dua hingga empat minggu.
“Rapid Bus akan menggunakan tempoh ini untuk menganalisa trend penggunaan dan permintaan penumpang.
“Ini adalah tempoh peralihan sebelum beralih sepenuhnya kepada van DRT sebagai mod pengangkutan tetap,” katanya.
Bermula dari tahun 2022, perkhidmatan DRT telah dilancarkan di LRT Wangsa Maju, LRT Alam Megah, LRT Taman Paramount dan LRT Taman Bahagia.
Perkhidmatan ini mendapat sambutan yang sangat positif dari para penumpang, dengan peningkatan penumpang lebih daripada 15 peratus secara purata.
Perkhidmatan DRT menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari pukul 6 pagi sehingga 11.30 malam.
Dengan tambang pengenalan RM1 untuk setiap perjalanan, penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 serta kad Touch ‘n Go, Pas MyCity, Pas Famili, Kad
Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan Percuma OKU Smile atau secara tunai. – KOSMO! ONLINE