IPOH – Kakitangan awam di negeri ini mendapat durian runtuh apabila kerajaan Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bantuan khas kewangan itu diberikan atas sumbangan dan komitmen penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan yang melaksanakan tugas dan amanah tanpa mengira waktu.
“Sebagai penghargaan, kerajaan negeri mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji kepada semua penjawat awam.
“Pembayaran bantuan khas tersebut akan dibayar pada akhir bulan ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Perak bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Tambah Saarani, pembayaran RM1,000 turut diberikan kepada semua guru sandaran tidak terlatih (GSTT), guru i’dadi, guru thanawi, guru tadika Islam, Tok Batin dan pekerja sambilan harian. – K! ONLINE.