SEPANYOL – Pelumba MotoGP, Joan Mir perlu membuat keputusan penting dalam perjalanan kariernya seperti bekas rakan sepasukannya, Marc Marquez selepas bakal mengakhiri kontrak bersama Repsol Honda hujung musim ini.
Mir menyertai Honda pada 2022 selepas menghabiskan hampir sepanjang karier MotoGP bersama Suzuki dan pernah memenangi gelaran dunia pada 2020 sebelum pasukan itu memutuskan untuk menarik diri daripada saingan.
“Saya mempunyai beberapa pilihan, tetapi saya tidak benar-benar tahu apa yang saya mahukan. Saya memerlukan sedikit masa lagi, untuk memahami dan membuat keputusan yang baik bagi masa depan saya. Inilah realitinya,” kata Mir.
Mir hanya mengumpul 26 mata bersama Honda musim lalu dan dan tidak pernah menamatkan perlumbaan lebih tinggi daripada tempat ke-12 dalam Grand Prix berbanding 24 penamat lima teratas, termasuk 13 podium beserta satu kemenangan perlumbaan ketika bersama Suzuki.
“Honda bekerja sangat keras, tetapi pada masa ini kami tidak mendapatkan peningkatan yang diperlukan. Jadi, sejujurnya saya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan pada akhir musim ini.
“Saya berharap dalam ujian di Mugello kami akan menemui peningkatan untuk membuat satu langkah lagi.
“Seperti di Jerez, kami ketinggalan 20 saat berbanding kedudukan teratas, maka jika kami boleh kurangkan menjadi 12 atau 15 saat, itu akan menjadi satu langkah yang baik,” tambah pelumba berusia 26 tahun itu.
Difahamkan, antara pasukan yang mungkin berminat untuk menarik Mir dari Repsol Honda adalah Trackhouse, yang kini dikendalikan oleh bekas pengurus pasukan Suzuki, Davide Brivio. – AGENSI