JOHOR BAHRU – Tujuh suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi hari ini akan direman mulai esok.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar mengesahkan perkara itu berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru.
“Suspek yang ditahan berhubung kejadian serangan ini akan dibawa ke mahkamah esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis berharap semua pihak memberi ruang kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terperinci terhadap kejadian ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat beberapa siri tangkapan terhadap individu yang menganggotai kumpulan Jemaah Islamiah (JI) di sekitar negeri ini.
Katanya, sekurang-kurang 20 lagi ahli JI yang aktif di Ulu Tiram telah dikenal pasti dan akan disiasat susulan kejadian itu. – KOSMO! ONLINE