TAPAH – Anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar disifatkan sebagai seorang yang peramah oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.
Kakak sulungnya, Nur Azza Assyaqiren, 29, berkata, walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, arwah adiknya gemar menulis tentang kematian di dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
“Arwah kerap menghantar mesej dan membuat panggilan video bersama keluarga, hampir setiap hari. Namun, beberapa minggu lalu dia selalu menulis dan menghantar gambar mengenai kematian.
“Saya dan ahli keluarga berasa harian juga. Namun, sifat Allahyarham (Azza Fahmi) suka bergurau dan sayang kepada keluarga, jadi kami anggap ia sebagai nasihat,” katanya ketika ditemui di Jalan Kampung Poh Tambahan 1, Bidor di sini hari ini.
Menurut Nur Azza, Allahyarham adiknya sememangnya bercita-cita mahu menjadi anggota polis sejak kecil.
“Arwah berusaha sendiri menghadiri temu duga, latihan fizikal sehinggalah dia terpilih. Sebaik ditawarkan bertugas di Balai Polis Ulu Tiram arwah berasa begitu gembira.
“Walaupun gajinya tidak seberapa, dia tetap menghulurkan duit kepada ibu ayah dan datuknya sepanjang lebih dua tahun bertugas di balai polis tersebut,” katanya yang memaklumkan kali terakhir mereka berjumpa pada Ramadan lalu.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga orang maut termasuk dua anggota polis manakala seorang lagi cedera selepas balai Polis Ulu Tiram diceroboh individu bertopeng.
Selain Konstabel Ahmad Azza, seorang lagi anggota yang terbunuh adalah Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang merupakan anggota prowler. – KOSMO! ONLINE