WASHINGTON – Tahap kesihatan bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden menjadi perhatian apabila batuk berkahak dan berterusan ketika berucap pada malam kelmarin.
Keadaan ahli politik berusia 78 tahun itu kelihatan terganggu akibat batuk dan kerap berdeham ketika membuat ucapan rasmi pertama kali sejak dinobatkan sebagai pemenang pilihan raya presiden November lalu.
Menurut laporan MetroNews Uk semalam, Biden yang membuat ucapannya di Wilmington, Delaware, memberitahu batuk yang dialaminya adalah kerana keadaannya yang kurang sihat.
Tetapi keadaan bakal presiden itu membuatkan sebahagian penonton mempersoalkan adakah dia dijangkiti wabak koronavirus malah ada mendesaknya untuk berhenti berucap dan meminum air.
Seorang doktor bernama Melody McCloud turut memuat naik ciapan di laman Twitter dan memetik nama penasihat Biden, Karine Jean-Pierre supaya menyuruh bakal presiden itu untuk batuk ke arah lengan dan bukannya tangannya.
“Sebagai seorang doktor, saya merasa ngeri setiap kali melihat Biden batuk sambil menekup mulutnya menggunakan tangan,” tulisnya.
Menurut laporan akhbar DailyMail, Biden sentiasa mengambil ujian swab Covid-19 secara berkala dan mendapat keputusan negatif bagi ujian kali terakhir pada Jumaat lalu.
Biden akan menjadi presiden AS tertua yang pernah memegang jawatan tersebut apabila mengangkat sumpah pada 20 Januari ini. – Agensi