JOHOR BAHRU – Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta merupakan antara tujuh individu yang disyaki terlibat dalam serangan berdarah ke atas Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang ditahan itu adalah seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 serta 21 tahun yang membuat laporan polis semasa kejadian pada pukul 2.30 pagi.
“Mereka disyaki datang ke balai polis berkenaan untuk mendapatkan pandangan berhubung kejadian cabul yang berlaku dua tahun lalu kepada anggota polis di balai polis ini.
“Dua mereka ini dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan ini, kita tidak menolak kemungkinan mereka datang untuk mengalihkan perhatian anggota polis.
“Semasa mereka di dalam balai, suspek utama yang berusia 21 tahun masuk ke kawasan balai dengan menaiki motosikal terus ke bahagian belakang dan parkir motosikal.
“Anggota yang jaga balai pengawal di hadapan terus mendapatkan suspek sebelum suspek menetak anggota di bahagian leher sebanyak tiga kali,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Ulu Tiram di sini hari ini.
Razarudin berkata, lima lagi suspek ditahan adalah ahli keluarga suspek utama yang yang ditembak mati.
Katanya, mereka berusia antara 19 dan 62 tahun termasuk bapa suspek diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE