JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan semua pegawai dan anggota polis memperketatkan kawalan di kesemua balai polis di seluruh negara.
Razarudin berkata, arahan itu dikeluarkan susulan serangan ahli Jemaah Islamiah (JI) yang menembak mati dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi hari ini.
Ujarnya, polis turut diarahkan pasukan polis melakukan kawalan ketat ke atas kawasan melibatkan individu berprofil tinggi termasuk kawasan istana.
“Pesanan saya kepada semua anggota polis (seluruh negara) agar sentiasa bersiap siaga susulan kejadian ini.
“Anggota polis di lapangan ini memang ada kemahiran kerana mereka sentiasa ada latihan menembak dan latihan mempertahankan diri untuk menghadapi sebarang persediaan termasuk anggota unit kereta peronda (MPV) dan URV termasuk serangan penjenayah,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru di sini hari ini.
Tambahnya, susulan kejadian serangan itu, pasukan risikan telah diarahkan untuk mengenal pasti 20 ahli kumpulan ektresm JI yang berada di Johor. – KOSMO! ONLINE