KUALA LUMPUR – Empat ejen sindiket ah long membabitkan tiga lelaki tempatan dan seorang lagi wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman sekitar Rawang, Selangor, pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kediaman berkenaan dijadikan sebagai pusat operasi sindiket pinjaman wang tanpa lesen itu dalam menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa mereka.
“Empat yang ditahan berusia 22 hingga 34 tahun dan kita juga merampas tujuh unit telefon bimbit, satu buku, serangkai kunci rumah, satu dompet, dua keping kad ATM dan wang tunai sebangak RM5,650.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati sindiket tersebut menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak Februari tahun ini.
“Tiga daripada individu yang ditahan mengaku berperanan selaku ejen mencari pelanggan melalui media sosial dan bertemu dengan peminjam yang berminat bagi mengadakan perbincangan secara bersemuka di mana-mana tempat yang dipersetujui,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, kadar faedah yang dikenakan kepada setiap peminjam adalah berbeza berdasarkan kapasiti peminjam iaitu antara 10 hingga 12 peratus seminggu.
“Terdapat beberapa kategori pinjaman iaitu melibatkan bayaran secara harian, mingguan dan bulanan. Dianggarkan nilai perolehan sindiket ini adalah sebanyak RM200,000 sebulan,” jelasnya.
Jelasnya, kesemua suspek direman selama tiga dan empat hari bermula Selasa lalu.
“Siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 sedang dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.