KUALA LUMPUR – Gara-gara memiliki memiliki video lucah kenalan wanitanya di dalam telefon bimbit tahun lalu, seorang jurugambar sambilan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret M. Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berusia 23 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki satu video lucah di dalam telefon bimbit miliknya jenis Iphone 6s berwarna kelabu di sebuah rumah di Taman Sri Endah, Cheras di sini pukul 2 pagi pada 2 Oktober 2019.
Berikutan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi memohon hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh telah mengaibkan mangsa yang merupakan seorang wanita Perancis.
“Mahkamah perlu mengambil kira video itu telah tersebar di dalam laman web lucah,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dan memohon maaf serta menyesal dengan kesalahan itu. -K!ONLINE