PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat hampir di seluruh negara sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, ia melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor, Perak dan Melaka.
Menurutnya, cuaca buruk itu juga dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Selain itu, ia dijangka melanda beberapa kawasan di Pantai Timur melibatkan Kelantan (Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Besut dan Setiu) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat berserta ribut petir juga berlaku di Johor dan Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin),” ujarnya.
Ia turut dijangka berlaku di kebanyakan tempat di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan serta Betong.
Di Sabah pula, cuaca buruk itu melibatkan kawasan pedalaman di Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort yang dijangka berterusan sehingga pukul 9 malam ini. – KOSMO! ONLINE