PUTRAJAYA – Kerajaan menyambut baik respons Meta tidak menyekat hantaran pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang pemimpin Hamas di Qatar, Selasa lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana perkara itu dapat selesai dalam masa tidak sampai 24 jam beliau bersuara.
“Alhamdulillah, kita berharap perkara ini tidak lagi berulang,” katanya pada sidang akhbar berhubung acara-acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di sini.
Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan itu mengecam tindakan konglomerat global tersebut menurunkan hantaran pertemuan Anwar dan Ismail Haniyeh.
Susulan itu, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menghantar surat kepada syarikat tersebut bagi meminta penjelasan mengenai perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau mengulangi kenyataannya semalam untuk tetap berjumpa dengan pemain platform media sosial antarabangsa itu bulan depan berhubung isu tersebut.
“Saya akan beri penegasan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat dengan kepimpinan yang ada tetap memiliki pendirian serta sangat jelas dalam beberapa perkara,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan agar penyedia wadah itu menghormati aspek pelaporan mengenai sebarang kenyataan dari anggota pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE