PUTRAJAYA – Ciri-ciri keselamatan yang ada pada kad pengenalan diri atau MyKad sedia ada sudah cukup memadai untuk mengelak ia dipalsukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, soal pemalsuan MyKad bukan hanya perlu diatasi secara pentadbiran sahaja sebaliknya menerusi aspek penguatkuasaan.
Beliau berkata, langkah penting yang perlu ditangani ketika ini adalah dari segi penguatkuasaan dan hebahan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.
“Kita ada bahagian penguat kuasa di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) malah, kita ada keupayaan mengesannya (MyKad palsu).
“Apakah kita bercadang untuk mengubah (MyKad)? Jika dari segi fizikal (ciri keselamatan) itu sudah memadai cuma kita nasihatkan masyarakat supaya jangan sesekali terjebak (memalsukan Mykad),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kes MyKad palsu digunakan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini serta adakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan dokumen itu.
Baru-baru ini, terdapat beberapa kes dilaporkan membabitkan warga asing menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di negara ini. – KOSMO! ONLINE