KANGAR – Seorang usahawan yakin keikhlasan guru dalam mencurahkan ilmu kepada pelajar mampu menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidup.
Pengasas jenama aiskrim terkenal, Siti Fatimah Adnan, 33, berkata, guru mempunyai peranan besar dalam kehidupannya yang mana dia mendapat pendidikan di masing-masing empat sekolah rendah dan menengah.
“Sejak ayah meninggal dunia ketika saya masih berusia 10 tahun, guru-guru di sekolah inilah yang mendidik dan membentuk peribadi saya sehingga saya memiliki empayar makanan sendiri.
“Apabila ayah meninggal dunia, saya pernah tinggal bersama ibu, nenek dan ibu saudara serta hampir saban tahun bertukar sekolah. Bagi saya, guru-guru saya adalah ibu dan ayah saya yang mendidik saya sehingga berjaya,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PMA Rich (M) Sdn. Bhd. berkata, beliau yakin kejayaannya sehingga memiliki 73 cawangan seluruh Malaysia serta di Istanbul, Turki adalah hasil keberkatan ilmu yang dicurahkan guru-gurunya.
“Saya juga nakal ketika usia remaja, pernah ponteng kelas dan dihukum mengikut peraturan sekolah seperti dirotan, namun tidak sedikit pun saya menyimpan dendam terhadap guru-guru saya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE