fbpx

Haji tetap sah guna visa pelancong, umrah – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Individu yang mengerjakan haji mengguna visa pelancongan atau umrah adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun ibadat tersebut.

Bagaimanapun, perbuatan tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang dilarang kerana menipu dan melanggar undang-undang pemerintah setempat.

Ini kerana kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk pergi menunaikan ibadah haji mesti mendapat visa khusus haji.

Jelasnya, visa pelancongan hanya dikhususkan untuk aktiviti pelancongan dan umrah sahaja dan visa ini tidak termasuk dalam aktiviti menunaikan haji, bekerja dan belajar.

“Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji atau tidak mampu untuk mendapatkannya atas faktor menunggu giliran, kewangan dan sebagainya maka ia termasuk dalam kategori orang yang tidak memiliki kemampuan atau istita’ah.

“Syarat istita’ah atau berkemampuan dalam mengerjakan ibadah haji untuk sampai ke tanah haram juga merupakan faktor dalam menentukan kewajipan seseorang itu untuk menunaikan ibadah haji seperti perjalanan yang aman dan selamat.

“Bahkan tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji sekiranya perjalanan tersebut terdapat ancaman terhadap diri dan harta,”kongsi PMWP di laman Facebook.

Tambahnya, penyalahgunaan visa ini akan melibatkan keselamatan pemegang visa yang tidak diiktiraf untuk melaksanakan haji dan boleh mencemarkan nama dan hubungan baik antara dua negara.

Malah katanya, pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

Terdahulu tular di media sosial mengenai kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Mekah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi Forum Umrah DIY selepas dihubungi oleh rakannya yang memintanya untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Hal itu kemudian mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar yang mengarahkan TH agar melakukan siasatan berhubung kejadian yang menimpa bakal jemaah haji berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 Riyal bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji.

Antara kawasan berkenaan adalab Mekah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Penalti yang akan berkuat kuasa mulai 2 Jun hingga 20 Jun itu akan dikenakan terhadap semua individu termasuk warga tempatan, pemastautin, dan pengunjung yang ditangkap di dalam kawasan berkenaan tanpa permit yang sah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI