PETALING JAYA – Seorang pakar bedah dari Malaysia memaklumkan dia bersama lima lagi pegawai perubatan negara ini kini tersekat di sebuah hospital di Rafah, Palestin.
Perkara itu dimaklumkan oleh penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice di laman Instagram sebaik sahaja dihubungi oleh pakar bedah berkenaan.
Menurut pakar bedah tersebut yang dikenali sebagai Dr. Hanif berkata, mereka masih berlindung di hospital tersebut sambil merawat pesakit yang dibawa ke hospital berkenaan.
“Saya Dr. Hanif, pakar bedah am dari Universiti Sultan Zainal Abidin , kami sekarang ini berada di hospital di Rafah dan masuk ke Palestin pada 1 Mei lalu dan kami bersama Mercy di bawah payung WHO EMT (Mercy Malaysia’s Emergency Medical Team).
“Kami stuck (tersekat) di sini sejak ground invasion (pencerobohan) berlaku. Sekarang kami masih di sini dan hospital masih digazetkan sebagai zon selamat untuk kami berlindung dan terus bekerja merawat pesakit-pesakit yang dibawa ke hospital,” katanya menerusi sebuah rakaman.
Dr. Hanif berkata, terdapat enam lagi rakyat Malaysia berada di hospital tersebut yang terdiri daripada enam orang pakar dan seorang pekerja logistik.
“Kami sedang menunggu arahan daripada WHO untuk keluar secepat mungkin apabila sempadan Rafah dibuka oleh Israel.
“Jadi, doakan kami semua di sini,” ujarnya.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sesuatu bagi membolehkan semua petugas kesihatan itu dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat.
“Besar sungguh pengorbanan mereka. Semoga dipermudahkan untuk mereka pulang ke Malaysia,” kata Syazana.
“Salam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Mohamad Hasan, mohon bantu doktor-doktor Malaysia yang masih terperangkap di Rafah,” pinta Alya.
“Semoga Dr dan semua pasukan di sana dalam lindungan Allah SWT,” doa Azirul.
“Harap PMX dapat lakukan sesuatu supaya semua dapat dibawa pulang dengan selamat,” kata Misha. – KOSMO! ONLINE