Oleh MOHD RAFIE AZIMI
ALOR SETAR – Legasi ditinggalkan bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil dilihat kembali menyinari pasukan bola sepak negeri ini apabila logo Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diumumkan hari ini, mirip logo ciptaan legenda itu.
Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, logo baharu yang diperkenalkannya itu adalah hasil ciptaan penyokong pasukan hijau kuning yang dipilih daripada 900 penyertaan diterima Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini.
“Logo ini telah melalui peringkat tapisan oleh beberapa jawatan kuasa terlibat. Penciptanya yang dikenali dengan nama ‘Ku Basri’ akan menerima hadiah berjumlah RM5,000 seperti dijanjikan sebelum ini.
“Dalam isu pemilihan logo ini, sudah tentu kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak. Namun kita telah melaksanakan pemilihan dan jawatan kuasa bersetuju bahawa logo ini adalah yang terbaik,” katanya.
Beliau yang juga Presiden KFA memperkenalkan logo tersebut pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.-K! ONLINE