KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan pengesahan cap pasport
pada dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Khairil Kamaruddin, 29, yang kini merupakan peniaga setelah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam pada awal tahun ini mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.
Berdasarkan kesemua 17 pertuduhan, dia dituduh menerima wang rasuah berjumlah keseluruhan RM63,430 menerusi akaun banknya daripada dua lelaki.
Mohd. Khairil dituduh melakukan perbuatan itu di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru antara Mac 2018 danJanuari 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Kosmo! semalam melaporkan tujuh pegawai Imigresen Johor dihadapkan ke lima mahkamah sesyen berasingan di seluruh negara atas pertuduhan menerima suapan bagi mendapatkan pengesahan cap pasport.
Pada 16 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket menyalahgunakan cap keluar dan masuk di pintu utama negara menerusi Ops. Selat. – K! ONLINE