KUALA LUMPUR – Pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours (Andalusia) menandatangani kontrak bernilai RM100 juta dengan AMAL by Malaysia Airlines hari ini, bagi pembelian minima 30 ribu tempat duduk bagi musim umrah tahun 1446H.
Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, memorandum kerjasama kali ini bakal memeterai kontrak bagi 77 penerbangan kapal penuh FBS dengan kapasiti 283 tempat duduk dan 76 penerbangan SBS dengan kapasiti 90 tempat duduk setiap kapal.
Jelasnya, penerbangan sulung AMAL bersama Andalusia bagi musim baru dijangka bermula 21 Julai.
Ida Riswana berkata, walaupun terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi, Andalusia tetap berjaya menerbangkan seramai 23,479 orang jemaah bersama Malaysia Airlines.
“Kami akui, kerjasama antara Andalusia dan AMAL sangat baik. Dari awal perbincangan, proses tempahan tiket penerbangan sehinggalah jemaah pulang ke tanah air semuanya berjalan lancar.
“Malah, kru AMAL juga tanpa lelah menyantuni jemaah umrah. Inilah faktor ramai jemaah memilih pakej umrah dengan AMAL kerana mereka yakin dan selesa sewaktu pergi dan balik dari mengerjakan umrah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Malaysia Airlines A330-200 Bagi Musim Umrah 1446H (2024/2025), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ida Riswana berkata, melalui kerjasama bersama AMAL sejak tahun 2015, Andalusia dapat menaja penuh ribuan umat Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Pada 19 hingga 30 April lalu, melalui penerbangan AMAL, satu dunia berasa insaf menyaksikan 30 orang jemaah cacat penglihatan daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) melakukan ibadah tawaf,” jelasnya.
Ida Riswana menegaskan, masyarakat khususnya bakal jemaah umrah perlu sedar akan kepentingan mencari syarikat yang bersedia dari awal dengan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Makkah dan Madinah untuk menjamin ibadah yang selesa.
“Dari sudut prinsip kami, kami tidak boleh untuk menjual apa-apa ‘barangan’ selagi barangan itu tiada.
“Oleh yang demikian, Andalusia akan terus melebarkan pasaran kami ke seluruh Malaysia bagi menyedarkan orang ramai bahawa adalah penting untuk hanya berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin semua pakej yang ditawarkan mempunyai tempat duduk untuk setiap jemaah,” katanya. – KOSMO! ONLINE