PETALING JAYA – Pelakon Noorkhiriah mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan video miliknya melalui akaun palsu dalam aplikasi TikTok.
Khiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Sapie, 46, berkata, video yang dimuat naik tujuh tahun lepas kembali tular dan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika kandungan tersebut belum dipadam.
“Tular balik video ini dalam Tiktok, video ini sudah tujuh tahun.
“Mohon kepada pemilik akaun TikTok tersebut padam akaun yang menyamar jadi saya sebelum tindakan diambil,” tulisnya menerusi Instagram.
Dalam video tersebut, Noorkhiriah berkongsi hasrat mengenai keputusan untuk berhenti berlakon.
Menjelaskan isu tersebut, isteri kepada lelaki bernama Azfaizul Ahtan itu mengakui masih aktif dalam bidang lakonan dan baru sahaja selesai menjalani penggambaran.
“Saya elok sahaja menjalani penggambaran.
“Baru sahaja selesai pukul 7 pagi tadi (Rabu),” katanya.
Akaun yang menggunakan nama pelakon berkenaan turut berkongsi aktiviti lain yang dilakukan oleh Khiriah dan mempunyai jumlah pengikut sebanyak 3,376.
Susulan dari video tular tersebut, ramai peminat termasuk rakan artis salah faham dengan kenyataan yang diberikan sehingga menganggap dia kini sudah mengundur diri dalam dunia lakonan.
Terdahulu, sekitar tahun 2016, Noorkhiriah pernah meluahkan hasrat untuk berhenti berlakon menerusi sebuah video dalam media sosial.
Bagaimanapun dia kembali aktif dalam industri hiburan selepas menerima banyak tawaran. – KOSMO! ONLINE