MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka akan memasang perangkap buaya di Kampung Tengah dekat sini susulan kejadian ternakan kambing dibaham di tebing sungai Malim berdekatan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang, Selasa lalu.
Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya juga akan menghantar pasukan penguat kuasa untuk melakukan rondaan secara berkala di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk.
Jelasnya, sebelum ini lokasi itu telah pun diisytiharkan sebagai habitat buaya dan papan tanda amaran turut dipasangkan sejak laporan pertama diterima berhubung kemunculan haiwan berkenaan, empat tahun lalu.
“Mengikut Rekod Aduan Konflik Hidupan Liar, Perhilitan sering menerima aduan mengenai kemunculan buaya di kawasan ini pada tahun 2020, 2022, 2023 dan 2024.
“Kawasan ini juga telah dikenal pasti merupakan kawasan habitat buaya dan papan tanda amaran telah dipasang Perhilitan berdekatan Pintu Kawalan Air Pasang Klebang. Ini merupakan kejadian pertama ternakan dibaham,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE