GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan sebanyak 10 notis kompaun kepada premis perniagaan runcit dan makanan di sekitar daerah Barat Daya di sini, semalam selepas didapati tidak memiliki lesen yang sah selain melakukan pelbagai kesalahan lain.
Jurucakap MBPP berkata, seramai lima pegawai dari Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan, Jabatan Pelesenan bersama pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran telah melaksanakan operasi pemantauan serta pemeriksaan empat buah premis perniagaan di daerah Barat Daya.
Menurutnya, dalam operasi yang bermula pukul 2.30 petang itu, kesemua premis tersebut didapati tidak memiliki lesen perniagaan sah yang dikeluarkan oBPP dan telah dikenakan kompaun.
“Sebuah kedai serbaneka yang menjual makanan sejuk beku didapati telah meletak bahan jualan makanan dan minuman di atas lantai premis. Dua buah premis makanan didapati tidak menyelenggara perangkap minyak dengan betul dan membiarkan sisa makanan disalurkan terus ke dalam parit longkang,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, selain daripada pemeriksaan lesen yang sah, operasi itu juga memfokuskan kepada tahap kebersihan premis terutamanya pengurusan sisa makanan.
“Antara penemuan kesalahan-kesalahan yang lain ialah premis didapati kotor dan gagal mencapai tahap sanitari yang optimum serta memuaskan.
”Pekerja di premis juga gagal mengemukakan kad pelalian suntikan anti- tifoid ketika pemeriksaan dijalankan dan pemilik premis juga meletakkan peralatan perniagaan (kerusi atau meja) di tempat awam yang menimbulkan sekatan laluan serta halangan,” katanya. -KOSMO! ONLINE