KANGAR – Pengalaman sepanjang bergelar seorang guru banyak membantu tugas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli dalam menyantuni rakyat di negeri itu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang itu, kenangannya menjadi seorang guru sentiasa segar dalam ingatan beliau dan menggunakan pengalaman ketika dalam dunia pendidikan untuk diterapkan dalam pentadbirannya.
“Sewaktu menjadi guru, kita tidak pernah membeza-bezakan anak murid. Pengalaman menjadi guru ini juga mengajar kita menyantuni manusia.
“Menjadi Menteri Besar juga perlu menyantuni rakyat, jadi apabila dilantik menjawat jawatan ini, pengalaman ketika mengajar itu banyak membantu berhubung dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini semalam.
Katanya, beliau yang pernah mengajar di Sarawak dan Perlis seronok menjadi seorang pendidik dan baginya menjawat jawatan Menteri Besar itu lebih sukar berbanding menjadi seorang guru.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan berharap agar guru-guru di negara ini terus hebat dan berani mendidik anak bangsa menempuh cabaran kini dan masa hadapan. – KOSMO! ONLINE