JAKARTA – Sebuah pesawat dipercayai membawa jemaah haji Indonesia dilihat terbang rendah di ruang udara kota Makassar hari ini, lapor portal berita makasar.info.
Beberapa saksi yang enggan nama mereka didedahkan berkata, mereka melihat asap keluar daripada sayap kanan pesawat berkenaan dalam kejadian antara pukul 3.30 hingga 3.40 petang (waktu tempatan).
“Pemandangan yang menyeramkan. Saya melihat sebuah pesawat Garuda (milik syarikat penerbangan Indonesia) terbang rendah dengan enjin pada sayap kanannya terbakar.
“Semoga pesawat berkenaan mendarat dengan selamat,” kata seorang saksi kejadian.
Seorang saksi lain melihat kapal terbang berwarna putih biru itu melintas dengan sayap kanannya terbakar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di bandar Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
Tidak lama kemudian, tersebar gambar pesawat Garuda mendarat di lapangan terbang dengan sayap kanannya terbakar. Pesawat sama dilaporkan selamat kembali dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin. – AGENSI