WASHINGTON – Satu lembaga putih yang merenung seorang kanak-kanak sedang tidur dirakam oleh sebuah kamera keselamatan di sebuah rumah lama berusia 100 tahun, lapor laman berita Daily Star kelmarin.
Imej ngeri itu dikongsikan di laman Facebook pada Sabtu lalu oleh Jon Kipke dari Michigan, Amerika Syarikat (AS). Dia sebelum itu menemui pemandangan menyeramkan tersebut pada Ogos 2022.
Jon menulis: “Saya tidak pasti apakah ini (lembaga putih). Namun, salah satu kamera saya merakamnya.
“Saya tidak pernah dihubungi dari alam lain (alam ghaib) atau apa-apa perkara pelik berlaku di rumah. Bagaimanapun, saya tinggal di rumah ladang berusia 100 tahun itu. Itu adalah anak bongsu saya yang tidur di atas lantai.”
Pengguna Facebook pantas berkongsi teori mereka tentang lembaga itu.
“Ia kelihatan seperti seorang lelaki budiman. Anda boleh melihat badan besar, kepala, bahu, lengan. Ia juga memakai topi.”
Seorang lagi menambah: “Ia sedang merenung anak anda.” – AGENSI