PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah bahawa Zulfarhan Osman Zulkarnain dibuli secara melampau oleh sekumpulan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tujuh tahun lalu berhubung dakwaan mencuri komputer riba yang tidak dibuktikan.
Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai berhujah, mereka memilih Zulfarhan dan mendera pegawai kadet laut itu termasuk menekap alat sulit dengan seterika wap untuk mendapatkan maklumat berhubung kehilangan komputer riba milik Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.
Hujah beliau, kecederaan yang dialami mangsa mencukupi bagi membuktikan elemen membunuh dengan niat seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mesej perlu disebarkan kepada masyarakat bahawa perbuatan buli melampau sehingga membawa kepada kematian perlu dibalas dengan hukuman mati.
“Kamu melakukan jenayah sehingga kehilangan nyawa, jadi kamu harus membalasnya dengan nyawa,” hujah Mangai.
Beliau memohon rayuan itu dibenarkan dan keenam-enam mereka disabitkan di bawah Seksyen 302 atas pertuduhan membunuh dengan niat yang mewajarkan hukuman mati dikenakan.
Mangai turut memohon panel itu mempertimbangkan kenyataan impak ibu Zulfarhan, Hawa Osman yang pernah dibaca di mahkamah yang antara lain menyatakan kejadian yang berlaku memberikan kesan yang sangat besar buat keluarganya.
Jelas Mangai, kesihatan ibu mangsa terjejas selain mengalami katarak yang serius akibat kerap menangis ekoran kesedihan melampau serta mengalami darah tinggi kerana sukar tidur.
Menurut pihak pendakwaan, kejadian itu juga menyebabkan wanita tersebut trauma untuk melepaskan anak-anak lain menyambung pengajian di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian berulang.
“Ibu Zulfarhan juga tidak membenarkan anak-anak lain memasuki badan beruniform dan memberikan tanggapan negatif ke atas badan beruniform yang meragut nyawa anaknya,” ujar Mangai.
Rayuan yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – KOSMO! ONLINE