GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) negeri mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama lima rakannya terlanggar sebuah boya berdekatan Jeti Swettenham Pier di sini petang semalam.
Mangsa, Khairul Azhar Mohamad, 32, yang berasal dari Kuala Muda, Kedah itu dikatakan terjatuh dipercayai ketika melakukan kerja-kerja memukat di atas bot berkenaan kira-kira pukul 1.50 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang menerima laporan daripada tekong sebuah bot nelayan kelas A berhubung kehilangan seorang kru bot pada pukul 2.20 petang semalam.
Menurutnya, mangsa yang kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru tanpa jaket keselamatan itu dilaporkan terjatuh selepas pelanggaran berlaku.
“Menerusi maklumat yang diterima daripada tekong, bot yang dinaikinya bersama lima kru telah terlanggar boya menyebabkan sebahagian bot tersebut pecah dan hampir karam.
“Empat kru telah tercampak ke laut manakala tekong dan seorang kru lagi masih di atas bot yang hampir karam sebelum kedua-dua mereka diselamatkan nelayan berhampiran.
“Dalam kejadian itu, tiga daripada kru yang tercampak ke laut itu berjaya diselamatkan bot nelayan manakala seorang mangsa (Khairul Azhar) dilaporkan hilang di bawa arus,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Tambahnya, operasi SAR turut mendapat kerjasama pasukan bomba, polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu oleh Persatuan Nelayan Kuala Muda, Kedah. – K! ONLINE