JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia menjadi perhatian pengguna media sosial selepas mendedahkan kisahnya dengan seekor lembu yang dibeli ketika dirinya patah hati, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Busairi Ahmad, membeli lembu yang dipanggil Tyson pada tahun 2023 gara-gara kecewa.
Menurut Busairi, dia sering mengajak haiwan peliharaannya itu untuk bermain di keliling rumah kerana dapat menghiburkan masa sedihnya.
Dia turut menunjukkan detik Tyson mula membesar dengan sihat kerana haiwan itu tidak memilih makanan.
“Hasilnya, Tyson membesar begitu cepat, sihat dan sesuai dengan namanya. Memang sama seperti Tyson (Mike Tyson), lehernya besar,” kata Busairi.
Namun, kebahagiaan itu hanya sementara apabila Busairi membuat keputusan menjual haiwan kesayangannya itu untuk dijadikan korban pada hari raya haji tahun ini.
Rata-rata netizen tidak sependapat dengan tindakan lelaki itu dan memberikan pelbagai komen.
“Bang, harusnya anda sendiri yang jadi korban biar dia bahagia,” kata seorang netizen.
“Tidak mengapa kerana Tyson dibeli ketika anda bersedih. Semoga ia menjadi asbab pahala menerusi korban,” kata netizen lain yang bersetuju dengan Busairi. – AGENSI