PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan syarikat konglomerat Meta yang menyekat beberapa akaun media sosial syarikat media tempatan termasuk menurunkan hantaran susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pihaknya mendapati hantaran tersebut tidak mempunyai aspek ‘berbahaya’ seperti didakwa syarikat Meta.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kecam tindakan pihak Meta untuk menurunkan artikel, posting (hantaran) daripada media, apatah lagi kerana ini adalah pelaporan tentang lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar.
“Saya ingin jelaskan bahawa pertemuan Perdana Menteri itu adalah dengan pemimpin sayap politik sebuah organisasi bukan sayap militan atau sayap ketenteraan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, beberapa syarikat media tempatan memaklumkan kepadanya bahawa hantaran dalam media sosial diturunkan atas alasan kononnya mereka berkongsi atau menghantar simbol, pujian atau sokongan kepada individu dan organisasi yang ditakrifkan syarikat Meta sebagai berbahaya. – KOSMO! ONLINE